Pasca COVID-19: Malaysia di Ambang Norma Baharu? - Jiran

Pasca COVID-19: Malaysia di Ambang Norma Baharu?

Walaupun Ramadan dan Raya sudah berlalu, sokongan perlu diteruskan

Published on 3 June 2020

Desas-desus mengatakan bahawa kita bakal bebas daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak lama lagi. Sudah tentu sebagai rakyat biasa yang gemar menghabiskan masa di luar, kita beranggapan bahawa kita akan kembali kepada rutin lama seperti bersenam di taman di waktu pagi dan menjamu selera di kedai nasi campur di waktu tengah hari. Tetapi senario yang kami sebutkan di atas mungkin tidak dapat direalisasikan sepenuhnya kerana hakikatnya terma ‘norma baharu’ benar-benar meliputi segenap aspek kehidupan kita.

Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran meningkat 17.1% iaitu lebih 600,000 orang ekoran PKP. Antara yang paling terjejas adalah industri perhotelan yang menunjukkan 30,000 pekerja telah hilang punca pendapatan, 10,000 pekerja telah dicutikan tanpa gaji dan 6,000 pekerja dipotong gaji. Beberapa hotel dan tempat penginapan juga sudah gulung tikar, antaranya Kinta Riverfront Hotel and Suites yang pernah menjadi antara destinasi penginapan utama di Ipoh suatu masa dahulu.

Perubahan daripada fizikal kepada digital

Disebabkan situasi yang tidak dapat dielakkan ini, kebanyakan syarikat di kota mahupun desa terpaksa mengubah suai perancangan operasi mereka agar lebih dekat dengan pengguna. Perniagaan-perniagaan yang beroperasi secara fizikal kini beralih kepada transaksi digital untuk terus memenuhi kehendak pelanggan mereka.

Setiap dugaan ada hikmahnya. Dalam konteks ekonomi pasca COVID-19, terbukti bahawa perniagaan yang mempunyai kapasiti untuk mengintegrasikan operasi mereka di alam digital mempunyai peluang yang cerah untuk kekal relevan. Oleh itu, transformasi digital hendaklah dilaksanakan oleh setiap sektor perniagaan, termasuklah para peniaga di kawasan kejiranan seperti pekebun kecil, pemilik kedai runcit, pengusaha kedai gunting rambut dan sebagainya.

Image 2 1
Imej oleh mStar

Ruang digital kini menjadi platform penting untuk meneruskan kelangsungan perniagaan anda. Dengan aplikasi-aplikasi e-niaga dan kumpulan-kumpulan komuniti di Facebook, perniagaan kecil berpeluang untuk bukan saja menyelamatkan operasi mereka, tetapi juga mengembangkan bisnes dengan skala yang lebih besar.

Sebagai pengguna pula, kita harus praktikkan amalan membeli barang keperluan harian daripada peniaga tempatan. Jika anda selalu membeli-belah di pasar raya berjenama antarabangsa, mulai sekarang anda boleh mula membeli barangan basah di kedai runcit di kawasan kejiranan anda, shopping seluar denim di Tarik Jeans, ataupun menjamah aiskrim keluaran Inside Scoop. Dengan memberi peluang kepada pengusaha tempatan, bisnes mereka dapat berkembang.

Tanggungjawab untuk memulihkan ekonomi negara pasca COVID-19 adalah tanggungjawab kita bersama. Mungkin peranan kerajaan berbeza dan lebih besar skopnya, tapi peranan kita juga tidak kurang pentingnya. Kita mampu mengukuhkan komuniti kita dengan berganding bahu dan mewujudkan ekosistem yang dapat memberi manfaat kepada semua.

Anda berniaga kecil-kecilan? Penyelesaian pemasaran digital Yellow Pages akan membantu meningkatkan potensi perniagaan anda semasa tempoh yang mencabar ini. Nak tahu lebih lanjut? Klik pautan ini.