Pintasan Saloma: Apa Reaksi Sebenar Netizen? - Jiran

Pintasan Saloma: Apa Reaksi Sebenar Netizen?

Nama Biduanita Saloma tular sekali lagi, kali ini di zaman serba moden

Published on 20 February 2020

Selalunya, bila berbicara tentang Kuala Lumpur dan keindahannya, orang Malaysia akan terbayangkan Menara Berkembar Petronas, KLCC ataupun Menara KL. Jika mahu membawa pelancong luar menjelajah ibu kota, mungkin juga Batu Caves yang menjadi tumpuan. Kini, Kuala Lumpur telah membuka tirai kepada tarikan yang baru: Pintasan Saloma.

Dinamakan sempena Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma, pintasan tersebut baru saja dibuka kepada khalayak ramai.

Pintasan Saloma mengambil masa hampir tiga tahun untuk siap sepenuhnya. Turut dikenali sebagai Saloma Link, ia merupakan projek jambatan pertama yang menghubungkan Lorong Raja Muda Musa 3 dengan Jalan Saloma yang letaknya tidak jauh dari KLCC.

Pintasan ini merentasi Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) yang selama ini secara fizikalnya memisahkan warga Kampung Baru dengan kemudahan teknologi dan kemajuan yang terdapat di sekitar KLCC.

Pasti ada hati yang terdetik, apalah sangat keistimewaan jejantas sepanjang 370 meter ini. Tapi ini bukan calang-calang jejantas. Pintasan Saloma dilengkapi sistem pencahayaan LED yang agak canggih.

Reka bentuknya pula mengambil inspirasi daripada sirih junjung, seni gubahan yang cukup sinonim dengan adat resam Melayu. Keunikan rekaannya seakan-akan melambangkan gabungan dua titik yang disatukan oleh kemajuan teknologi dan konsep kelestarian budaya. Tidak salah jika ditafsirkan bahawa Pintasan Saloma merupakan sebuah tribute kepada identiti masyarakat Kampung Baru yang taat dan setia pada budaya Melayunya.

Sebenarnya, penduduk Kampung Baru sudah lama menginginkan sebuah jejantas yang praktikal dan memudahkan mereka bergerak ke pusat perniagaan yang penuh dengan pejabat, kedutaan, pusat membeli-belah dan sebagainya. 30 tahun lalu, mungkin jejantas seperti ini dapat menciptakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak-anak Kampung Baru. Mungkin juga Kampung Baru sudah jauh berubah jika pintasan tersebut telah lama ‘berkhidmat’ untuk penduduk sekitarnya.

Nama ‘Saloma’ gah sekali lagi selepas tirai pintasan tersebut dibuka secara rasminya. Berpusu-pusu pengunjung tempatan dan luar datang untuk menyaksikan kehebatan reka bentuk moden yang disulamkan dengan jiwa tradisional.

pintasan saloma tweet 2

Ramai juga yang teruja, sehingga jejantas tersebut menjadi antara destinasi terhangat di Kuala Lumpur.

pintasan saloma tweet 3
pintasan saloma tweet 4

Yang merakam video lucu dan mencuit hati ala TikTok pun ada.

Beberapa pihak juga telah menganjurkan aktiviti sihat seperti acara larian. 

pintasan saloma tweet 6

Sebelum kewujudan pintasan ini, penduduk Kampung Baru terpaksa menempuh kesesakan trafik Kuala Lumpur yang sudah menjadi lumrah dalam kehidupan seharian mereka. Kini, mereka boleh berjalan kaki untuk bersiar-siar di Taman KLCC atau menjamu selera dengan pelbagai juadah food truck di Tapak.

Bagi warga kerja KLCC dan kawasan sekitarnya pula, bolehlah ‘bersenam’ sedikit dengan berjalan kaki ke Kampung Baru untuk menikmati Nasi Lemak Wanjo atau aneka pilihan nasi padang.

Secara keseluruhan, kebanyakan respons terhadap pintasan ini sangat positif. Buat masa ini, pintasan ini dilihat telah memberi impak besar kepada penduduk setempat.

Ramai yang berpendapat bahawa Pintasan Saloma harus dijaga dengan baik jika ia mahu kekal sebagai sebuah tarikan yang unggul di Kuala Lumpur, bukan saja di kalangan para pengunjung tetapi juga kepada pengguna setempat yang akan terus menggunakan jejantas tersebut di tahun-tahun yang akan datang.

Anda ingin dapatkan maklumat tentang perkhidmatan dan kemudahan yang ada di ibu kota? Layari direktori perniagaan tempatan di Yellow Pages Malaysia.