Pocket Angel Bantu Lindungi Wanita Masa Kini - Jiran

Pocket Angel Bantu Lindungi Wanita Masa Kini

Apa anda perlu tahu tentang penggera keselamatan peribadi yang boleh dibawa ke mana sahaja

Published on 6 April 2022

Wanita sering kali menjadi mangsa kes jenayah seperti peras ugut, ragut, gangguan seksual atau rogol. Insiden yang tidak diingini boleh berlaku walaupun mangsa sedang berada di tempat yang terbuka seperti di pejabat, pusat beli-belah mahupun di dalam kenderaan awam.

Berdasarkan data Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat peningkatan yang membimbangkan dalam bilangan insiden gangguan seksual yang telah dilaporkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sebanyak 11,914 kes gangguan seksual direkodkan dari tahun 2018 sehingga bulan Ogos 2020.Oleh itu, kaum wanita digesa agar lebih peka dengan keselamatan diri apabila keluar bersendirian terutamanya pada waktu malam.

Penggera untuk banteras jenayah seksual terhadap wanita

Tiga sekawan iaitu Serene Ho, Peggy Neoh dan Kimberly Voon tampil mencipta Pocket Angel, peranti eksklusif yang berfungsi sebagai penggera yang boleh digunakan untuk membanteras jenayah yang melibatkan wanita. Mereka juga berazam untuk meningkatkan kesedaran orang ramai khususnya para wanita terhadap jenayah seksual yang semakin berleluasa.

Serene yang merupakan Pengurus Jenama Pocket Angel berkata, “Kami percaya bahawa golongan wanita mempunyai hak untuk berasa selamat dan bebas daripada sebarang ancaman jenayah dan gangguan seksual. Punca permasalahan ini bukanlah datang daripada mangsa sebaliknya penjenayah.

jiran pocket angel penggera keselamatan

“Kami mahu isu keganasan terhadap wanita segera diberi perhatian agar ia dapat dihentikan serta-merta. Kami komited dalam menerapkan tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan kaum wanita tentang kepentingan menjaga keselamatan diri. Kami juga ingin mengubah mentaliti masyarakat di negara kita yang rata-ratanya lebih cenderung meletakkan kesalahan kepada mangsa setiap kali berlakunya jenayah,” jelas Serene lagi.

Kompak, bergaya dan mudah digunakan

Sejak Pocket Angel dilancarkan sekitar bulan Oktober 2020, sambutan yang diterima daripada pengguna sangat menggalakkan. Lebih 10,000 unit penggera Pocket Angel berjaya dijual dalam tempoh lima bulan.

Setiap pembelian unit Pocket Angel didatangkan bersama rantai kunci jenis carabiner. Ini membolehkan pengguna menyangkut penggera berkenaan pada beg tangan, dompet atau gugusan kunci.

Rekaannya yang kompak dan ringan memudahkan pengguna menyimpan alat penggera tersebut di dalam poket.

Pocket Angel yang direka khas untuk kegunaan harian setiap wanita turut ditawarkan dalam beberapa rona ceria seperti merah jambu, kuning, biru, hitam dan putih. Ia mudah disesuaikan dengan personaliti individu yang berbeza-beza.

jiran pocket angel produk

Selain bateri khas yang mampu bertahan selama tiga hingga lima tahun tanpa sebarang pengecasan, penggera istimewa yang dilengkapi siren 130dB ini memiliki tahap desibel yang hampir sama dengan kekuatan bunyi letusan mercun. Sebaik diaktifkan, ia mampu didengari pada jarak hingga 600 kaki. Pocket Angel juga mengeluarkan cahaya jenis lampu strob untuk menarik perhatian orang sekeliling, menakutkan penjenayah dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Di samping itu, Pocket Angel juga boleh dikatakan sangat mudah digunakan. Pengguna cuma perlu menarik pin untuk mengaktifkan bunyi penggera. Cara penggunaannya yang ringkas memastikan pengguna sentiasa bersedia dan berupaya bertindak dengan pantas apabila berdepan dengan situasi panik atau mencemaskan.

Pocket Angel galakkan wanita bersuara

Perubahan selalunya bermula dengan diri kita sendiri. Menurut Serene, Peggy dan Kimberly yang menjadi tulang belakang Pocket Angel, mereka percaya dengan adanya anggota masyarakat yang saling membantu, ia secara tidak langsung akan mewujudkan suasana positif dan ‘ruang’ yang selamat untuk wanita tampil ke hadapan dan menyuarakan pendapat berkaitan isu-isu sensitif secara lebih telus. Berkat sokongan komuniti, kaum wanita akan menjadi lebih berani dan bersemangat untuk berkongsikan perasaan mereka.

“Sebagai individu yang hidup dalam kelompok masyarakat, kita seharusnya lebih peka dengan keadaan orang di sekeliling kita seperti rakan atau ahli keluarga yang terdiri daripada kaum wanita. Adakalanya, mangsa-mangsa jenayah seksual memilih untuk berdiam diri kerana mereka takut dan malu untuk tampil berterus-terang.

pocket angel keselamatan wanita penggera

“Adalah menjadi tanggungjawab kita serta masyarakat setempat untuk berganding bahu dan menzahirkan keprihatinan terhadap mangsa-mangsa jenayah seksual. Cuba dekati mereka tanpa prejudis agar mereka berasa lebih selesa dan terbuka untuk menceritakan permasalahan sebenar yang sedang dihadapi. Sesungguhnya, kita menjadi tonggak utama yang mampu memastikan mereka mendapat bantuan daripada saluran yang betul.”

Visi dan harapan murni

Pocket Angel komited menawarkan ciri keselamatan yang optimum dan menyeluruh kepada kaum wanita menerusi peranti inovatif berupa penggera keselamatan. Namun, apa yang lebih penting, mereka mahu terus menjadi salah satu jenama dan produk tempatan yang terus memperkasakan wanita dalam mendapatkan hak-hak mereka. Mereka mahu mengajak wanita untuk berani bersuara!

Mereka juga berharap untuk berkolaborasi dengan beberapa organisasi terkemuka di Malaysia seperti Women’s Aid Organisation (WAO) dan All Women’s Action Society (AWAM) untuk menawarkan lebih banyak inisiatif yang memperkasakan kaum wanita.

Dengar dan kongsi suara hati wanita di ruangan #ChoosetoSpeakUp

Bersempena dengan sambutan Hari Wanita Sedunia, Pocket Angel menyediakan ruang untuk golongan wanita menyuarakan isi hati mereka menerusi segmen #ChoosetoSpeakUp di laman web Pocket Angel. Di sini, para wanita boleh berkongsi tentang gangguan seksual yang pernah mereka hadapi dan bagaimana mereka menanganinya.

Ikuti kisah inspirasi tiga wanita hebat iaitu Talitha Tan, Tharsyani Nair dan Siu Lim tentang pengalaman mereka saat berdepan dengan gangguan seksual serta cara mereka bangkit daripada pengalaman hitam yang pernah dilalui. Klik di sini untuk ketahui lebih lanjut.

Dapatkan banyak lagi maklumat tentang isu semasa yang berlaku di kawasan anda. Ikuti laman sosial Jiran di Instagram, Facebook dan Twitter.

Anda mahu memulakan perniagaan tetapi tidak tahu caranya? Kunjungi unifi Business Club (uBC) untuk pelbagai panduan dan info niaga.