Produk Kecantikan Berasaskan Bahan Semula Jadi dan Organik oleh HYGR - Jiran

Produk Kecantikan Berasaskan Bahan Semula Jadi dan Organik oleh HYGR

Penggunaan bahan alternatif yang lebih efektif dan mesra alam

Published on 11 November 2021

Sejak bermulanya pandemik, ramai yang menghadapi masalah jerawat atau maskne berpunca daripada pemakaian pelitup muka. Antara cara yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah ini ialah dengan menggunakan produk kecantikan yang berasaskan bahan semula jadi dan organik yang selamat dan berkesan.

Produk yang mengandungi tahap bahan kimia yang tinggi memang mudah menabur janji seperti kulit yang mulus dan cantik dengan pantas. Tetapi tahukah anda ia boleh mengakibatkan kerosakan kulit yang teruk dan meninggalkan kesan negatif pada hari mendatang selain risiko kanser kulit.

Beralihlah kepada produk yang menggunakan bahan semula jadi dan organik yang dapat membantu memulihkan masalah kulit. Ini juga merupakan satu bentuk sokongan kepada pencinta alam untuk mengurangkan pembaziran sisa toksin dan ujian klinikal terhadap haiwan di samping memelihara alam sekitar.

jiran hygr founders

Usaha pemilik jenama produk kecantikan HYGR, Ivor dan Meng yang menggunakan 100% bahan semula jadi amat dikagumi. Mereka komited untuk menawarkan produk penjagaan diri berasaskan bahan-bahan semula jadi dan organik.

Inspirasi untuk memulakan perniagaan ini bermula apabila mereka mahu menyelesaikan masalah penjagaan diri seharian seperti menghilangkan masalah bau badan dan rawatan bibir kering. Kedua-dua graduan lepasan bidang undang-undang ini kini mengejar impian memiliki perniagaan e-dagang sendiri.

Jom kita ketahui bagaimana mereka menggunakan bahan semula jadi dan organik dalam produk kecantikan HYGR.

Proses mengeluarkan produk

Mereka bermula dengan memikirkan idea tentang kategori produk yang ingin dijual. Jenis produk yang mereka pilih adalah produk kecantikan dan kosmetik yang digunakan pada bahagian luaran tubuh badan.

Kajian dan eksperimen dijalankan untuk menguji dan memastikan keselamatan dan keberkesanan setiap produk yang dihasilkan. Kelebihan menggunakan bahan semula jadi adalah ia lebih berkesan dan tidak berbahaya kepada pengguna berbanding produk penjagaan diri yang tinggi bahan kimia.

Bebas daripada bahan bertoksin

jiran hygr lip

Formulasi bahan yang digunakan untuk deodoran yang mereka hasilkan terdiri daripada minyak kelapa, minyak kastor, mentega koko, lilin Candelilla, tanah liat bentonit dan lain-lain. Bahan-bahan semula jadi ini dapat menghindarkan bau badan selain memastikan pori-pori pada bahagian kulit bawah lengan tidak tersumbat. Ia juga mempunyai bau yang menyenangkan walaupun tiada wangian sintetik digunakan.

jiran hygr lipbalm
Imej: Instagram @hygr.my 

Produk terlaris HYGR merupakan pelembap bibir berwarna. Pewarna yang digunakan berasaskan serbuk tanah liat merah Perancis yang semula jadi dan tidak bertoksik. Produk ini juga mengandungi bahan-bahan lain seperti serbuk mika, lilin Candelilla yang berasaskan tumbuhan, minyak tumbuhan, jeli petroleum, mentega dan minyak pati yang mempunyai bau yang menyenangkan serta berfungsi sebagai agen antibakteria. Selain memberi kilatan pada bibir, bahan-bahan yang digunakan juga berfungsi untuk mengekalkan kelembapan bibir dan menyembuhkan bibir yang merekah.

Pembungkusan produk

jiran hygr kit

Pembungkusan plastik perlu dihindari agar dapat melestarikan lautan dan tidak memudaratkan persekitaran. Sisa plastik mengandungi bahan toksik yang membahayakan kesihatan manusia. Ia juga mengambil masa yang lama untuk reput. Sebagai alternatif, HYGR menggunakan pembungkusan mesra alam yang selamat seperti pembalut kertas sarang lebah yang senang reput untuk proses biodegradasi yang lebih pantas.

Pembalut tersebut boleh ditanam di dalam tanah selepas dipotong dan direndam. Ia hanya mengambil masa sekitar tiga hingga empat bulan untuk dilupuskan berbanding pembungkusan plastik yang memakan masa sekitar 450 tahun atau lebih untuk terurai. 

Pupuk kesedaran pengguna

Jenama ini menggunakan pembungkusan yang minimum iaitu menggantikan pita plastik atau bungkusan gelembung dengan kertas kraf berserta bungkusan kertas sarang lebah. Selain itu, HYGR juga aktif berkongsi informasi di media sosial tentang faedah pembungkusan mesra alam. Ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan ilmu dalam kalangan pelanggan mereka dan membangkitkan kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

Cara mendekati pelanggan

HYGR menggunakan media sosial untuk berinteraksi dengan pengguna produk mereka dengan lebih dekat. Melalui platform ini, mereka dapat menjawab segala soalan pelanggan dengan mudah dan jelas.

Maklum balas pelanggan juga boleh digunakan untuk memperbaiki atau memperbaharui produk mereka di masa akan datang. Usaha ini bukan sahaja bertujuan untuk mendekati pengguna malah memberi peluang untuk syarikat ini mengumpul idea dan mengeluarkan lebih banyak produk yang bersesuaian dengan pelbagai jenis kulit. 

Perlukan bantuan untuk memasarkan perniagaan anda secara digital? Klik pautan ini sekarang. 
Jangan lupa ikuti Jiran di Instagram, Facebook dan Twitter untuk banyak lagi topik menarik!