Rahsia di Sebalik Kejayaan NITA Cosmetics - Jiran

Rahsia di Sebalik Kejayaan NITA Cosmetics

Ramai mengagumi usahawan wanita yang bijak mengatur langkah dalam menerajui perniagaan. Ketahui faktor yang mendorong kemajuan syarikat tempatan ini

Published on 4 March 2022

Nama NITA Cosmetics pasti tidak asing lagi bagi para penggemar alat solek. Ia merupakan salah satu jenama kosmetik tanah air yang paling awal memperkenalkan rangkaian gincu cecair jenis matte.

Jenama ini diasaskan oleh seorang wanita rupawan yang berkaliber iaitu Aznita Zainul Azman atau lebih mesra disapa dengan nama Nita. Khabarnya, beliau banyak mempelajari selok-belok perniagaan daripada bapanya sendiri, Tan Sri Zainul Azman.

Biarpun bapanya seorang individu yang berpengaruh dalam dunia bisnes, ia bukanlah tiket untuk dirinya bersenang-lenang. Sebaliknya, Nita berani memulakan perniagaan dari bawah dan telah berjaya membuktikan bahawa dirinya mampu mengharungi setiap cabaran yang mendatang walaupun tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam dunia perniagaan kosmetik dan kecantikan.

Mari baca perkongsian bermanfaat daripada pengasas NITA Cosmetics ini.

Cerita tentang permulaan NITA Cosmetics

Seperti kebanyakan anak muda yang hendak mencari haluan hidup, saya juga berdepan dengan persoalan yang sama. Sekian lama saya memikirkan apa yang hendak saya capai dalam kehidupan sehinggalah pada suatu hari, saya tertarik untuk membangunkan jenama kosmetik sendiri.

Saya suka bermain dengan warna, bereksperimen dalam penataan gaya solekan serta banyak menghabiskan masa di gedung-gedung kecantikan untuk mencuba pelbagai produk kosmetik daripada jenama lain. Saya langsung tidak mempunyai pengalaman dalam dunia perniagaan tetapi semangat dan minat saya kuat! Saya percaya itulah kunci kejayaan paling utama yang perlu ada dalam diri seseorang jika mahu mencapai apa yang diinginkan.

Sejak itu, saya mula mencari pengeluar dan merangka konsep jenama NITA Cosmetics. Saya sangat bersyukur dengan kedudukan NITA Cosmetics sekarang. Saya benar-benar tidak menyangka ramai wanita di luar sana akan menyokong ideasaya.

Apakah cabaran terbesar dalam perniagaan kosmetik?

Sekarang ada lebih banyak persaingan berbanding beberapa tahun dahulu. Sebab itulah kami menambah rangkaian kosmetik kami dengan seleksi produk lain seperti pelitup muka, beg tote dan yang terbaharu produk pewarna kuku. Dari segi harga pula, kami menetapkan harga yang berpatutan dan mampu milik tanpa menjejaskan kualiti produk.

jiran nita cosmetics products

Sangat memuaskan sebenarnya apabila kami menerima maklum balas positif daripada pengguna yang mengakui bahawa kosmetik keluaran kami adalah lebih baik berbanding jenama antarabangsa. Jika dahulu ramai pengguna ragu-ragu dengan kualiti produk kecantikan tempatan, kini mereka memberi sokongan penuh kepada jenama-jenama tempatan seperti NITA Cosmetics.

Kekuatan NITA Cosmetics

Saya sebenarnya graduan perfileman dan dahulunya pernah melibatkan diri dalam industri tersebut. Seni perfileman ialah satu bidang yang kreatif dan nilai itulah yang saya terapkan ke dalam NITA Cosmetics untuk menampilkan suatu kelainan.

Setiap produk yang dihasilkan juga memiliki kisah dan identiti yang tersendiri. Saya gemar menggabungkan jalan penceritaan ke dalam penjenamaan. Selain itu, rekaan pembungkusan yang membaluti kesemua produk kosmetik bukan sahaja dihiasi warna-warna ceria malahan turut diperhalusi dengan ilustrasi mewah yang bersifat feminin.

Keistimewaan NITA Cosmetics yang menjadi tunjang kejayaan

NITA Cosmetics menggambarkan keperibadian diri saya — berwarna-warni, menyeronokkan dan unik. Sewaktu kami mula-mula melancarkan jenama ini sekitar tahun 2016, tidak banyak jenama tempatan yang menumpukan usaha untuk mengetengahkan ciri budaya dan warisan. Jadi, kami berazam menjadi jenama terawal yang membawa konsep itu dengan memperkenalkan identiti dan tradisi Malaysia menerusi rekaan kotak pembungkusan dan nama-nama produk. Antara yang menarik ialah Ais Kepal Matte Liquid Lipstick, Asam Boi Matte Liquid Lipstick dan Sarsi Matte Liquid Lipstick.

jiran nita cosmetics lip colour

NITA Cosmetics juga merupakan jenama kosmetik keluaran tempatan yang unik kerana ia menawarkan 15 pilihan warna bedak asas, daripada yang paling cerah sehinggalah kepada warna paling gelap. Kesemua warna yang diperkenalkan menerusi rangkaian bedak asas NITA Cosmetics adalah istimewa dan mampu melengkapi keperluan pengguna di Malaysia mengikut tona kulit masing-masing. Setiap satunya dicipta khas agar benar-benar sesuai dengan warna kulit orang Asia.

NITA Cosmetics mahu menghasilkan produk berkualiti berkelas antarabangsa dan dalam masa yang sama mengutamakan tema tempatan.

Nasihat kepada usahawan baru

Pada peringkat awal memang akan terasa sukar tetapi fokuslah untuk melaksanakan perniagaan secara perlahan dan konsisten. Jangan sesekali membandingkan perkembangan dan tahap pencapaian diri kita dengan orang lain. Hargailah segala apa yang kita miliki dan hargai juga para pelanggan dan setiap pesanan yang diterima. Nilai dan erti kesyukuran sedikit sebanyak akan membantu diri kita untuk tekad dan terus maju dalam cabang perniagaan yang diceburi.

jiran nita cosmetics group shot

Mencari panduan membina bisnes dan kisah inspirasi usahawan berjaya? Ikuti laman sosial Jiran di Instagram, Facebook dan Twitter!

Berminat untuk memulakan perniagaan tetapi tidak tahu caranya? Kunjungi unifi Business Club (uBC) untuk merealisasikan impian anda memiliki jenama sendiri.