Semangat Berkobar Demi Negara! - Jiran

Semangat Berkobar Demi Negara!

5 fakta menarik tentang atlet-atlet Paralimpik Malaysia yang melonjakkan nama negara di Sukan Paralimpik Tokyo 2020

Published on 7 October 2021

Walaupun persiapan para atlet sedikit terganggu akibat pandemik COVID-19, kontinjen Malaysia berjaya mencapai sasaran untuk meraih tiga pingat emas pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020. Pencapaian ini dianggap sebagai yang terbaik pernah dicapai setakat ini.

Rakyat Malaysia meraikan kemenangan barisan atlet negara yang membawa pulang tiga emas dan dua perak menerusi sukan powerlifting, badminton, boccia dan lompat jauh. Prestasi yang membanggakan ini memperbaiki pencapaian di Rio 2016.

Jom kenali atlet-atlet Paralimpik tanah air ini dan ketahui fakta-fakta menarik tentang kemenangan mereka di Tokyo.

Pemecah rekod powerlifting

jiran bonnie gustin
Imej: Instagram @parapowerlifting

Bonnie Bunyau Gustin menghadiahkan pingat emas pertama buat negara di Sukan Paralimpik Tokyo dalam acara Powerlifting Kategori 72 kilogram (kg) Lelaki dengan angkatan terbaik 228kg. Pencapaian yang menakjubkan ini menempatkan Bonnie sebagai pemegang rekod baharu untuk acara ini selepas mengatasi rekod Paralimpik Rio 2016 yang dipegang oleh atlet Iraq, Rasool Mohsin.

Sahut cabaran kedua

jiran jong yeekhie
Imej: Instagram @parapowerlifting

Sukan Paralimpik Tokyo merupakan temasya Paralimpik kedua buat anak kelahiran Sarawak ini. Atlet powerlifting Jong Yee Khie menyahut cabaran demi negara dalam acara 107kg Lelaki sekaligus merangkul pingat perak. Kemalangan yang menimpa beliau pada tahun 2005 tidak mematahkan semangat Yee Khie untuk menempa kejayaan. Terima kasih kepada ahli keluarga beliau kerana memberikan sokongan dan mendorong beliau untuk kekal bersemangat mencapai impian.

Penampilan pertama

1200x800 templateboccia
Imej: Instagram @megatdshahriman

Dugaan hidup Chew Wei Lun yang ditinggalkan oleh ibu kandungnya pada usia empat tahun tidak mematahkan semangat beliau untuk terus berjuang menghadapi liku-liku kehidupan. Temasya Paralimpik Tokyo 2020 merupakan penampilan sulung beliau sejak menceburi bidang sukan. Bukan itu sahaja, beliau juga merupakan atlet pertama yang berasal dari Malaysia menyertai acara Boccia Perseorangan Campuran BC1 dan berjaya dinobatkan sebagai pemenang pingat perak. Kisah Wei Lun yang menyentuh hati dan usaha beliau dalam meraih pingat menjadi inspirasi kepada masyarakat. Kejayaan Wei Lun membuktikan bahawa kita tidak seharusnya berputus asa dan terus berusaha untuk mencapai kejayaan yang diimpikan.

Emas badminton milik Malaysia

jiran cheah liekhou
Imej: Instagram @paralympics

Cheah Liek Hou berjaya memenangi Kejohanan Dunia Para-Badminton BWF sebanyak 11 kali. Beliau meneruskan tradisi kecemerlangan ini di Paralimpik Tokyo 2020. Pertarungan sengit pada pusingan terakhir Perseorangan Lelaki SU5 selama 50 minit membuahkan hasil apabila beliau berjaya menumpaskan saingannya dan merebut gelaran juara buat kontinjen Malaysia. Liek Hou mencipta sejarah sebagai pemenang pingat emas pertama negara dalam sukan badminton yang dipertandingkan buat julung kalinya di temasya Paralimpik sejak tahun 1960.

Jaguh lompat jauh negara

jiran abdul latif
Imej: Instagram @latifromly

Abdul Latif Romly dikenali sebagai wira lompat jauh yang sinonim dengan laungan “Terbang Latif Terbang!” tanda sokongan rakyat Malaysia buat perjuangan beliau. Abdul Latif berjaya mengekalkan prestasi gemilang sejak muncul sebagai pemenang pingat emas acara Lompat Jauh Lelaki T20 di Paralimpik Rio 2016. Walaupun tidak dapat meneruskan cubaan lompatan terakhir beliau di Paralimpik Tokyo kerana mengalami kecederaan pangkal paha, lompatan kedua Abdul Latif dengan jarak 7.45 meter sudah cukup untuk meletakkan beliau sebagai juara.

Jutaan tahniah dan terima kasih kepada semua atlet Paralimpik yang bertanding dengan penuh semangat di Sukan Paralimpik Tokyo demi mengharumkan nama negara. Jasa anda semua akan terus dikenang seluruh rakyat Malaysia!

Jangan lupa ikuti Jiran di Instagram, Facebook dan Twitter untuk banyak lagi topik menarik!