Si Comel Peneman Setia: 5 Kafe Mesra Haiwan Peliharaan yang Boleh Anda Cuba di Lembah Klang - Jiran

Si Comel Peneman Setia: 5 Kafe Mesra Haiwan Peliharaan yang Boleh Anda Cuba di Lembah Klang

Ingin bawa sekali haiwan peliharaan apabila anda keluar menjamu selera? Kami senaraikan tempat makan menarik untuk anda kunjungi

Published on 19 November 2021

Haiwan peliharaan dapat membantu mengurangkan rasa sunyi, lebih-lebih lagi buat mereka yang hidup bersendirian. Aksi comel dan manja serta kenakalan haiwan kesayangan ini juga boleh mengurangkan tekanan dan menceriakan lagi kehidupan kita.

Jika anda mempunyai haiwan peliharaan, mesti anda pernah lalui pengalaman bersiap-siap untuk keluar makan atau lepak dan si comel akan mengekori pergerakan anda. Tidak sampai hati pula untuk tinggalkannya di rumah, kan?

Apa kata anda bawa si comel kesayangan ke kafe yang membenarkan pelanggan membawa haiwan kesayangan untuk menemani mereka ketika menjamu selera. Jom lihat senarai kafe mesra haiwan peliharaan yang menarik untuk dicuba.

Poppy Kat

jiran Pet Cafes Poppy kat cafe

Kafe ini terletak di Cheras dan menjadi tular di media sosial baru-baru ini kerana pemiliknya memelihara dua ekor kucing di sini dan menyediakan barang permainan kucing di ruangan kedai. 

Dekorasi rona matahari terbenam dan reka bentuk yang unik pastinya menambat perhatian pengunjung yang sukakan port bergambar yang bagus. Pelbagai pilihan bagel dijual di sini seperti Matcha Lychee Croffle yang wajib dicuba. 

Instagram: @poppykatkafe 

Yellow Brick Road

jiran Pet Cafes Yellow Brick Road

Kafe yang bertempat di Jalan Batai, Bukit Damansara ini terkenal dengan makanan yang lazat berserta kopi yang enak. Namun, adakah anda tahu bahawa ia juga merupakan kafe yang mesra haiwan peliharaan? Anda boleh membawa haiwan peliharaan anda ke Yellow Brick Road dan berehat di ruang makan di kawasan terbuka yang dikhaskan.

Memandangkan kita sudah boleh dine-in, jom cuba Chocoholics Anonymous. Ia merupakan menu yang menjadi kegemaran pemilik kedai untuk disajikan kepada pengunjung kerana semasa Perintah Kawalan Pergerakan berlangsung, pencuci mulut ini sukar dinikmati oleh pelanggan disebabkan aiskrim di atasnya akan cair sebaik sahaja pesanan mereka sampai menerusi khidmat penghantaran. Jika anda singgah di sini, jangan lupa cari Gesha, kucing yang menceriakan suasana di kafe ini.

Instagram: @yellowbrickroadcafe

Cureé

jiran Pet Cafes Curee

Restoran makanan Jepun ini terletak di Jalan Imbi, Kuala Lumpur. Ia digemari pelanggan kerana sajian yang lazat dan hiasan dalaman yang memberi keselesaan kepada pengunjung yang membawa haiwan kesayangan. Kawasan luar dan sudut kecil yang disediakan di dalam kedai adalah mesra haiwan peliharaan. Senarai menu di sini semuanya menyelerakan dan kedai ini terkenal dengan hidangan kari seperti kari Jepun dengan udang katsu.

Instagram: @curee_

Bean Brothers

jiran Pet Cafes Bean Brothers

Kafe ini mempunyai dua cawangan iaitu di The LINC KL dan Sunway Damansara,. Kedua-dua cawangan tersebut menerima pelanggan yang datang bersama-sama haiwan kesayangan. Bean Brothers menawarkan persekitaran yang tenang untuk anda bersantai sambil menikmati kek dan kopi yang istimewa. Ada patio mesra haiwan peliharaan yang dikelilingi oleh kehijauan.

Anda ingin cuba perisa kopi baharu atau ingin tahu tentang biji kopi yang menepati cita rasa anda? Boleh tanya barista yang bertugas kerana keunikan kafe ini ialah barisan pekerja yang berkemahiran untuk mengesyorkan minuman kopi yang sesuai buat pelanggan.

Instagram: @beanbrothers.my

Urban Daybreak

jiran Pet Cafes Urban Daybreak

Asalnya, Urban Daybreak ialah kafe artisan yang terletak di tengah-tengah Georgetown, Pulau Pinang. Kafe ini menggoda selera pelanggan dengan sarapan pagi hidangan Australia asli yang menampilkan kelainan tersendiri. (Menu di kafe ini tidak halal.) Penduduk Lembah Klang yang ingin mencuba kafe ini boleh berkunjung ke cawangannya di Jalan Telawi 5, Bangsar. 

Ruang luar kafe ialah kawasan mesra haiwan peliharaan. Tempat ini sesuai untuk anda berehat bersama haiwan kesayangan sambil menikmati pemandangan. Hidangan sarapan pagi yang disukai ramai di sini ialah Urban’s Really Big Breakfast.

Instagram: @urbandaybreak

Syabas kepada pengusaha kafe dan restoran tempatan yang membuka perniagaan berkonsepkan mesra haiwan peliharaan. Selain menawan hati pengguna dengan variasi yang baharu, usaha ini juga turut memeriahkan industri makanan dan minuman (F&B) di negara kita.

Jangan lupa ikuti Jiran di Instagram, Facebook dan Twitter untuk sama-sama menyokong usahawan lokal di Malaysia.