Snek Kegemaran Zaman 90-an yang Masih Boleh Dinikmati - Jiran

Snek Kegemaran Zaman 90-an yang Masih Boleh Dinikmati

Banyak jenama snek popular suatu ketika dahulu yang kekal di pasaran sehingga sekarang. Yang mana satu pernah menjadi kegemaran anda?

Published on 7 June 2022

Bila teringat zaman kanak-kanak, pasti kita akan tersenyum seorang diri membayangkan betapa indahnya kehidupan waktu itu. Tidak perlu fikirkan tentang masalah berat dan berdepan dengan komitmen sebagai orang dewasa. Apa yang paling utama ialah pergi sekolah dan jika ada masa yang tersisa, waktu itu boleh digunakan untuk bermain dengan kawan-kawan sebaya. 

Selain permainan yang menyeronokkan, salah satu benda yang sukar untuk dilupakan ialah jajan atau snek popular yang banyak dijual sekitar tahun 90-an. Bagi menggembirakan hati anda, Jiran kongsikan 10 jenis snek yang menggamit kenangan. 

1. Biskut jejari Nini 

Jiran snek kegemaran nini

Selain perisa coklat asli, biskut jejari Nini turut didatangkan dalam perisa strawberi dan mentega kacang. Bungkusannya yang berbentuk silinder memudahkan kanak-kanak untuk memegang dan menikmatinya pada bila-bila masa. Apabila ia dibuka, terdapat pembahagi yang memisahkan sos coklat berperisa dengan ruang yang menempatkan biskut jejari berkenaan. Biskut tersebut perlu dicicah dengan sos coklat berperisa yang dihadirkan bersama untuk keenakan berganda. 

2. Tora 

Jiran snek kegemaran tora

“Tora datang lagi!” Tag line ini sudah tidak asing lagi dalam kalangan kanak-kanak yang membesar pada zaman 90-an. Tora merupakan snek yang dijual di dalam kotak istimewa. Ia turut didatangkan bersama permainan kecil percuma. Apa yang menarik, permainan di dalam kotak tersebut selalunya berbeza setiap bulan. Sebab itulah Tora akan mengiklankan edisi permainan barunya untuk menarik minat kanak-kanak yang rata-rata banyak menghabiskan masa di hadapan kaca TV. 

3. Ding Dang 

Jiran snek kegemaran dingdang

Konsep produknya hampir sama dengan Tora. Ini kerana Ding Dang juga dikeluarkan oleh syarikat pengeluar yang sama iaitu Kinos. Biarpun begitu, apa yang membezakan kedua-dua jenama ini ialah harga Ding Dang jauh lebih murah kerana saiz kotaknya lebih kecil berbanding Tora. Isi kandungannya juga sama iaitu sebungkus coklat dan sejenis permainan edisi terhad. Kanak-kanak gemar mengumpul permainan tersebut untuk dikongsi bersama teman mereka yang turut berkongsi hobi sama. 

4. Pop Corn Perisa Durian 

Jiran snek kegemaran popcorn

Kalau anda penggemar durian yang tegar, anda pasti pernah mencuba makanan ringan yang unik ini. Pop Corn Perisa Durian dijual dalam dua jenis bungkusan iaitu saiz yang kecil dan saiz yang besar. Masing-masing dijual pada harga 20 sen dan RM1.20 pada ketika itu. Tekstur rangup serta rasanya yang seakan sama dengan durian sebenar akan membuatkan sesiapa sahaja berasa kagum. 

5. Eyeglass with Candy 

Jiran snek kegemaran glasses

Coklat ini turut dikenali dengan nama coklat “teropong” atau coklat “nombor 8” kerana bungkusannya yang berbentuk nombor 8. Seperti namanya, Eyeglass with Candy ini bukan sahaja mempunyai butiran coklat pelbagai warna yang boleh dimakan tetapi kepingan plastik yang berbentuk kaca mata itu boleh digunakan semula sebagai topeng mata menarik! Hanya perlu ikatkan tali atau getah pada lubang yang telah disediakan untuk disangkut ke bahagian telinga. Patutlah kanak-kanak tertarik! 

6. Biskut bunga aising 

Jiran snek kegemaran biscuit

Kanak-kanak yang lahir pada zaman 90-an pasti mengenali kudapan yang dipanggil biskut bunga aising ini. Aisingnya ada pelbagai warna dan bentuknya pula seakan-akan bunga. Biskut ini biasanya dinikmati sebagai snek minum petang sambil ditemani teh O panas. Adakalanya, anda juga boleh menemui biskut ini di rumah terbuka hari raya. Ia dihidangkan sebagai salah satu biskut raya yang paling digemari tetamu. 

7. Kek lapis Apollo 

Jiran snek kegemaran apollo

Kek lapis mini jenama Apollo ini sering kali menjadi kegilaan kanak-kanak kerana hampir setiap hari iklannya ditayangkan di kaca TV. Selain coklat, antara perisa lain yang popular ialah pandan, strawberi dan pisang. Kesemua perisa ini mempunyai peminatnya yang tersendiri. Jika di kedai runcit, Apollo selalunya dijual dalam paket individu berharga 30 sen tetapi ada juga pasar raya yang menjualnya dalam kotak besar dengan isi 24 paket. Sebab itulah ramai ibu bapa yang akan membekalkan anak mereka dengan kek lapis Apollo ini setiap kali sekolah mengadakan jamuan kerana mudah untuk dikongsi beramai-ramai. 

8. Coklat syiling emas 

Jiran snek kegemaran goldcoins

Apa yang menjadikan coklat ini menarik ialah bungkusannya yang dilihat seakan-akan duit emas. Isinya cumalah sekeping coklat susu dan saiznya pula lebih besar berbanding saiz duit syiling 50 sen yang lama. Jika anda masih ingat, coklat syiling emas ini sering diberikan sebagai hantaran setiap kali berlangsungnya majlis perkahwinan. Ia kemudian akan diagihkan kepada kanak-kanak yang terdiri daripada saudara-mara rapat pengantin untuk dijadikan buah tangan. 

9. Gula-gula asam Haw Flakes 

Jiran snek kegemaran hawflakes

Gula-gula ini turut dikenali sebagai “gula asam” atau “asam duit syiling” disebabkan bentuknya yang nipis serta bulat seperti duit syiling. Nama sebenarnya ialah gula-gula asam Haw Flakes. Selain menjadi snek kegemaran kanak-kanak era 90-an, kini gula-gula ini banyak digunakan dalam pembuatan kek asam manis dan kek batik Sarawak yang mendapat permintaan tinggi setiap kali menjelangnya perayaan Aidilfitri dan Aidiladha. 

10. Gula-gula NanoNano 

Jiran snek kegemaran nanonano

“Nano nano nananano…” Bila sebut gula-gula NanoNano, pasti terbayang iklan serta irama lagunya. Gula-gula berwarna kuning-jingga ini mempunyai perisa yang unik kerana menggabungkan rasa manis, masam dan masin. NanoNano dijual dalam paket yang mudah dikongsi dan setiap satunya mempunyai enam biji gula-gula. Mungkin sebab itulah ia menjadi salah satu snek kegemaran kanak-kanak zaman itu.  

Jadi, di antara 10 snek yang disenaraikan di atas, yang mana satukah paling dirindui dan pernah menjadi kegemaran anda? Jika tiba-tiba anda teringin, boleh sahaja mencari aneka snek ini di kedai runcit dan pasar raya berdekatan atau cuba membelinya secara dalam talian. 

Anda suka artikel seperti ini? Selami dunia yang penuh kenangan di laman Nostalgia kami. 

Jangan lupa ikuti Jiran di Instagram, Facebook dan Twitter untuk banyak lagi cerita menarik!