[VIDEO] Bagaimana Industri Batik Asli Terus Maju di Era Pandemik - Jiran

[VIDEO] Bagaimana Industri Batik Asli Terus Maju di Era Pandemik

Inovatif tanpa menjejaskan asas seni

Published on 5 February 2021

Sejak kebelakangan ini, subjek batik sering menjadi perbualan hangat netizen. Secara tidak langsung ini memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia agar lebih peka terhadap keadaan industri batik di Malaysia di era pandemik ini.

“Dalam dunia perniagaan, kita mesti cepat menyesuaikan diri dengan keadaan semasa agar kita sentiasa kekal relevan,” kata Puan Masrina Abdullah, seorang pereka batik yang juga merupakan pengusaha jenama batik tempatan.

Ketika sesi temu bual eksklusif bersama Jiran, kelihatan peralatan untuk menghasilkan batik tradisional tersusun rapi di premisnya yang terletak di Bangi Avenue. Masrina, pemilik dan pengasas Masterpiece by Masrina Abdullah sudah 30 tahun berkecimpung dalam bidang ini. Karya yang beliau hasilkan sendiri telah mendapat tempat di hati pencinta batik di negara luar seperti Sepanyol dan Maghribi.

Berbekalkan pengalaman yang luas dalam sektor ini, Masrina berjaya mencari jalan untuk meneruskan perniagaannya dengan mengeluarkan produk batik yang inovatif iaitu pelitup muka batik.

IMAGE 2

“Dalam masa yang singkat, kami perlu memikirkan strategi untuk mengatasi masalah yang timbul akibat krisis COVID-19. Kami mula membuat kajian dan memutuskan untuk menghasilkan pelitup muka berdasarkan potensinya sebagai produk yang boleh membantu kami untuk terus maju ke hadapan.”

Menurut Masrina, Masterpiece merupakan antara jenama pertama yang menghasilkan produk pelitup muka bertemakan batik. Disebabkan itu, permintaan untuk produk ini sangat tinggi. Ini terbukti apabila beliau menerima 70 tempahan pada hari pertama pelitup muka ini dijual di pasaran.

Namun begitu, inovasi produk bukanlah satu-satunya cara untuk industri tradisional ini berkembang. Mengikut beliau lagi, Masterpiece juga telah beralih ke platform digital untuk mengendalikan operasi jualan mereka sejurus tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Sejak itu, syarikat ini telah menerima banyak tempahan dari dalam dan luar negara.

Ternyata industri batik negara boleh terus maju jika pengusaha-pengusahanya mengambil langkah proaktif dalam menyesuaikan diri dengan situasi semasa, tanpa mengorbankan nilai-nilai estetika asas dalam seni batik.

“Asas batik itu kita pelihara dan pada masa yang sama kita berinovasi untuk menghasilkan produk yang baharu dan berbeza. Contohnya, sekarang kita buat pelitup muka menggunakan kain batik yang asli, suatu perkara yang sebelum ini tidak pernah kita cuba,” ujar Masrina.

Ingin tahu lebih banyak lagi tentang Masterpiece by Masrina Abdullah? Jom tonton video di bawah:

Untuk merealisasikan transformasi inovatif perniagaan anda, kunjungi laman web Yellow Pages Malaysia hari ini. Platform sehenti serba baharu ini menyediakan pelbagai penyelesaian digital yang berupaya menepati keperluan perniagaan anda semasa wabak COVID-19. Layari https://yellowpages.my untuk maklumat lanjut.