[VIDEO] Kerana Minat Mengaji, Anak Kecil Sabah Sanggup Naik Sampan, Duduk dalam Gelap - Jiran

[VIDEO] Kerana Minat Mengaji, Anak Kecil Sabah Sanggup Naik Sampan, Duduk dalam Gelap

Demi ilmu, apa saja diredahi

Published on 19 August 2020

Bulan lepas kita dikejutkan dengan cerita Veveonah Mosibin dari Sabah yang gigih memanjat pokok untuk menjawab soalan peperiksaan — hinggakan terpaksa berdepan dengan ancaman tebuan. Vlog Veveonah telah mendapat perhatian warganet ketika itu. Ramai yang menularkan video tersebut sehinggalah beliau mendapat bantuan daripada Telekom Malaysia. Itulah kesan semangat tolong-menolong di antara kita. Walaupun sumbangan netizen hanya sekecil-kecil retweet, impaknya cukup besar dan bermakna.

Tidak lama selepas itu, sebuah cerita sayu tentang kegigihan untuk menimba ilmu viral sekali lagi, yang juga melibatkan anak muda di Sabah.

Di sebuah perkampungan kecil di Ranau, sekumpulan anak-anak kecil yang minat untuk belajar mengaji terpaksa menempuhi rintangan yang sukar, lebih-lebih lagi untuk kanak-kanak di usia mereka.

Image 1 5
Imej oleh Annur Quranic

Sekumpulan sukaralewan Annur Quranic iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah berkunjung ke kampung tersebut untuk melihat sendiri keadaan mereka di sana. Perjalanan mereka mengambil masa selama empat jam, termasuklah satu jam perjalanan menaiki bot.

Image 2 4
Imej oleh Annur Quranic

Menurut akaun Twitter NGO berkenaan, kanak-kanak di sana akan masuk tidur pada jam 8 malam kerana ketiadaan bekalan elektrik di kawasan tersebut. Disebabkan masalah ini juga, anak-anak kecil ini terpaksa belajar mengaji di tempat yang gelap dan panas. Namun, halangan ini tidak pernah mematahkan semangat mereka.

Image 3 4
Imej oleh Annur Quranic

Para sukarelawan hanya berbekalkan lampu suluh ketika berkunjung ke rumah mereka. Mujurlah ada Ustaz Arjunah yang menjadi guru dan rujukan kanak-kanak tersebut dalam pengajian al-Quran. Tidak dapat dibayangkan perasaan Ustaz tersebut yang mengajar anak-anak muridnya dalam keadaan yang sebegitu daif. Mungkin niat yang suci dan keikhlasan dalam menyampaikan ilmu telah menguatkan lagi semangat beliau untuk meneruskan khidmatnya.

Dengan kuasa viral dan perasaan kasih sayang sesama manusia, ramai netizen tersentuh dengan thread Twitter tersebut. Ada di antara mereka yang menderma wang ringgit untuk menampung pengajian anak-anak ini. Annur Quranic juga turut menyumbangkan papan putih dan rehal untuk kegunaan pelajar-pelajar di sana.

Segala bentuk bantuan yang diterima oleh anak-anak Sabah ini menunjukkan bahawa semangat kejiranan boleh diamalkan di mana-mana sahaja. Semangat inilah yang harus terus kuat di waktu-waktu yang mencabar seperti fasa PKP.

Nak baca lebih banyak cerita menarik seperti ini? Pastikan anda terus layari laman web kami di jiran.com.my serta ikuti kami di Facebook dan Instagram.