[VIDEO] Kilang Kuih-Muih Tradisional Siap Ada Lagu Sendiri - Jiran

[VIDEO] Kilang Kuih-Muih Tradisional Siap Ada Lagu Sendiri

Banyak pilihan, harga berpatutan

By Khai Kyreel Published on 22 February 2021

[Jiran x MMU]

Kalau anda ke Bandar Seri Putra, tak lengkap kalau anda tidak menikmati kuih-muih keluaran Ramli Talam Koci. Terdapat lebih 80 jenis kuih-muih tradisional di sini. Setiap hari, lebih 10,000 biji kuih-muih dihasilkan. Kalau di luar waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), anda boleh menikmati semua makanan di sini sambil mendengar lagu tema mereka bertajuk ‘Ramli Talam Koci’. Lebih menarik, pencipta dan penyanyi lagu ini adalah penyanyi yang terkenal sekitar tahun 90-an, Isa daripada kumpulan rock Gravity.

Niat datang nak makan, tapi…

Teringat pertama kali berkenalan dengan pemilik Ramli Talam Koci ini sekitar tahun 2013. Pada masa itu saya diperkenalkan oleh jiran depan rumah. Mulanya setakat beli nak makan. Tapi akhirnya kini saya dah jadi ejen mereka.

Encik Ramli adalah nama pemiliknya. Dia dibantu oleh isteri, anak-anak dan beberapa pekerja setianya. Kalau ditanya pukul berapa kuih-muih ini mula dibuat, dia akan cakap mula jam 12 tengah malam. Ini kerana kebanyakan pelanggan mereka adalah hotel-hotel, kafe-kafe yang bertempat di universiti, bangunan kerajaan dan swasta, katerer dan juga orang perseorangan.

Kuih warisan zaman

Seronok kalau datang awal pagi apabila semua kuih-muih mula dihidangkan seawal jam 6.30 pagi. Terdapat hampir semua jenis kuih-muih yang mak ayah atau atuk nenek kita makan zaman dulu. Yelah, memang belum pupus lagi kuih-muih ni. Tapi jarang dapat yang secara konsisten sedap, struktur mantap dan boleh diperolehi setiap hari. Nama seperti kuih koci, talam seri muka, apom beras dan kaswi merupakan antara jenis kuih yang boleh anda perolehi di sini.

Harga kebanyakan kuih adalah 60 sen sebiji atau RM30 setalam (biasanya 50 biji). Kalau dibeli secara individu, memang ada yang kata mahal berbanding kuih-muih yang dijual di jalanan. Tapi, kualiti kuih Ramli Talam Koci amat tinggi. Bayangkan ada yang pernah bungkus untuk bawa balik ke Kelantan dan keadaan kuihnya masih elok. Pernah juga kami terlupa simpan kuih dalam peti ais, tapi selepas enam jam masih elok kualitinya.

Dari segi harga pula, harga setalam yang hanya RM30 agak murah jika dibandingkan dengan pesaing-pesaing yang biasanya menjual kuih-muih mereka dengan harga sekitar RM35–RM45.

Rahsia yang tersendiri

Selain itu, kelebihan kuih-muih Ramli Talam Koci adalah struktur kuihnya yang mantap. Tak terlalu cair, sesuai untuk dihidangkan untuk sebarang kenduri. Tak terlalu keras, sekali makan terus teringat-ingat. Encik Ramli menyatakan beliau ada rahsia tersendiri dalam mengekalkan rasa dan kualiti kuih yang sama.

Kilang serta Kafe Ramli Talam Koci ini terletak berhampiran Tangki Air Bandar Seri Putra, Bangi, Selangor. Di luar masa PKP, anda boleh makan di kafe bermula jam 6.30 pagi. Biasanya waktu pagi sangat ramai pelanggan di sini. Manakala sekitar jam 10 pagi keadaan dah sedikit lengang. Kedai pula akan tutup pada jam 3 petang.

Pelanggan boleh membuat tempahan dan kuih-muih akan dihantar melalui ejen-ejen ataupun perkhidmatan e-hailing seperti Foodpanda dan lain-lain.

Berbalik kepada Isa Gravity, beliau hampir setiap hari akan menghiburkan pelanggan di sini. Selain lagu asli ‘Ramli Talam Koci’, beliau dan rakan juga akan memainkan lagu kumpulan Gravity yang pernah hit seperti ‘Kau Salju Cintaku’ dan ‘Sinambungan Cinta’.

Apa lagi, kalau ke Bandar Seri Putra singgahlah ke Kafe Ramli Talam Koci. Tapi kena datang awal! Kalau tak akan sedikit kecewa.

Biodata penulis:

Khai Kyreel merupakan pensyarah di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Multimedia (MMU). Selain mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi seperti komunikasi digital dan Internet of Things, beliau turut berbakat dalam menghasilkan kisah-kisah kejiranan. Beliau juga sering merakam apa yang berlaku di sekitar beliau untuk tatapan bersama di YouTube/Hazreel TV.

Anda pun ada cerita untuk dikongsi? Boleh hantar ke jirandigital@gmail.com atau hubungi kami melalui Facebook.