[VIDEO] “KL Buat Aku Lebih Kuat Daripada Biasa” - Jiran

[VIDEO] “KL Buat Aku Lebih Kuat Daripada Biasa”

Orang Luar Menceritakan Pengalaman Menetap di Kuala Lumpur

Published on 7 October 2020

Penghijrahan dari kampung halaman ke tempat yang asing bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Anda perlu membuat persiapan dalam bentuk fizikal dan mental agar boleh menyesuaikan diri di tempat orang. Jika tidak, anda mungkin akan hanyut dengan masalah-masalah yang bakal menimpa.

Begitulah juga kisah dua rakyat Malaysia ini; John Bear dari Pulau Pinang dan rakannya, Elena Laurel Moujing yang berasal dari Sabah. Pada mulanya, kedua-duanya berhijrah ke Kuala Lumpur untuk menyambung pengajian di menara gading dan kini mereka masih menetap di Lembah Klang untuk mencari rezeki. Jika anda seperti pernah lihat wajah Elena, ini kerana beliau seorang aktres dan penari yang pernah muncul dalam beberapa video muzik manakala John Bear, atau nama sebenarnya Izzul Faiz Idrus, merupakan vokalis kugiran reggae Budak Nakal Hujung Simpang.

Dalam sesi temu bual eksklusif dengan Jiran, dua sahabat ini bersetuju bahawa Kuala Lumpur adalah pusat pertembungan pelbagai jenis bangsa dan budaya. Perkara inilah yang membuatkan bandar raya ini unik serta istimewa. Mereka berdua turut mengimbau fasa penyesuaian diri yang sukar dan memakan masa.

“Kalau di kampung sendiri, kita selesa bertegur sapa dan bercakap (dengan orang lain) kerana kita tau orang itu berkongsi dialek yang sama,” kata John Bear, seorang island boy yang membesar di Air Itam.

Ditanya tentang perbezaan Kuala Lumpur dengan Kota Kinabalu, Elena berkata kesibukan kota dan semangat jitu yang berjaya ditunjukkan oleh warga ibu kota memberikan beliau satu perspektif yang berbeza. “Orang KL sangat fokus dan mereka tidak membenarkan sesiapa pun menjadi batu penghalang dalam mencapai apa yang diinginkan.”

Tonton video untuk ketahui cerita John Bear dan Elena Laurel Moujing dengan lebih mendalam.