[VIDEO] Pasca PKP: Zoo Negara Kembali Meriah! - Jiran

[VIDEO] Pasca PKP: Zoo Negara Kembali Meriah!

Terima ribuan pengunjung pada hari pembukaan

Published on 29 April 2021

Menjelang cuti penggal persekolahan, pintu masuk Zoo Negara pasti dipenuhi dengan lautan manusia seawal 7 pagi. Perkara ini sudah menjadi kebiasaan di Zoo Negara sejak pembukaannya pada tahun 1963.

Malangnya, seperti tarikan pelancong yang lain, Zoo Negara turut berdepan dengan pelbagai cabaran apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama diumumkan. Menurut Timbalan Presiden Zoo Negara, Rahmat Ahmat Lana atau lebih dikenali sebagai Encik Rosly Lana, pihak pengendali Zoo Negara tidak dapat menampung kos operasi.

“Ketika itu, wang yang kami ada memang tidak cukup untuk menampung kos keseluruhan operasi zoo ini. Kami tahu kami harus lakukan sesuatu buat syarikat, pekerja dan haiwan-haiwan di bawah jagaan kami,” kata beliau.

Mujurlah Zoo Negara dibantu oleh pelbagai pihak, contohnya sektor awam dan korporat serta orang awam khususnya para pencinta haiwan yang bukan saja memberi bantuan dari segi kewangan malah membuat hebahan di media massa dan media sosial juga. Zoo Negara berjaya mengumpulkan dana berjumlah RM11 juta yang digunakan untuk membeli bekalan makanan dan ubat-ubatan untuk haiwan-haiwan jagaan mereka serta menampung kos keseluruhan.

Sejurus selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Zoo Negara telah dibenarkan beroperasi dan dibuka semula kepada orang ramai pada 5 Mac yang lalu dan berjaya menerima kunjungan ribuan pencinta haiwan seawal tengah hari. Demi memastikan keselamatan pengunjung, Zoo Negara menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan hanya membenarkan 1,250 pengunjung dalam satu masa.

“Kami terima ramai pengunjung sejak hari pertama zoo ini dibuka semula. Sehingga kini, bilangan pengunjung masih ramai,” ulas Encik Rosly yang sempat ditemu ramah oleh pihak kami sebelum Ramadan.

Sambutan yang diterima ini jelas menunjukkan bahawa Zoo Negara masih mempunyai tarikannya yang tersendiri. Dalam usaha menambah baik lagi tarikan tersebut, pengendali zoo baru-baru ini telah mewujudkan Rimba Reptilia, sebuah bangunan khas yang menempatkan pelbagai jenis reptilia termasuklah buaya jejulong, ular tedung selar (king cobra), ular sawa dan lain-lain lagi.

Selain Rimba Reptilia, pihak pengurusan Zoo Negara juga telah menjadikan Tasik Tunku Abdul Rahman sebagai sebuah hab memancing bagi kaki joran. Encik Rosly sendiri telah merasmikan kawasan tersebut dengan melepaskan sebanyak 500kg ikan patin ke dalam tasik.

Ingin tahu dengan lebih mendalam tentang Zoo Negara? Tonton video ini sekarang:

Untuk info tentang tempat rekreasi menarik dan khidmat pelancongan tempatan, pastikan anda kunjungi Yellow Pages Malaysia.