[VIDEO] Sambutan Tahun Baru Cina 2021 Tetap Meriah! - Jiran

[VIDEO] Sambutan Tahun Baru Cina 2021 Tetap Meriah!

Huat Ah secara maya semasa PKP

Published on 22 February 2021

Meskipun sambutan Tahun Baru Cina kali ini sedikit berbeza, ia masih diraikan dengan penuh meriah. Adat resam yang diamalkan serta perhiasan tradisional yang dipasang di rumah dan di sekitar kawasan kejiranan ketika menjelang musim perayaan turut menggembirakan hati tidak kira tua atau muda, walaupun dengan adanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Rata-rata mereka yang menyambut Tahun Baru Cina tahun ini masih meneruskan tradisi perayaan tetapi dengan sedikit improvisasi. Majlis makan besar tetap dijalankan. Ahli keluarga dan sanak saudara terus berhubung secara dalam talian, di samping tampil bergaya dengan pakaian tradisional masing-masing. Ada juga yang tidak ketinggalan mengajak jiran tetangga untuk turut serta memeriahkan suasana (semestinya sambil mematuhi prosedur operasi standard atau SOP).

Walaupun tidak dapat bersemuka secara fizikal, tradisi pemberian angpau bagi mereka yang sudah berkahwin tetap diteruskan menerusi aplikasi e-wallet. Aktiviti Yee Sang dan juga persembahan tarian naga juga turut dilakukan secara maya. Kreatif, kan? Siapa kata kita tak boleh enjoy perayaan Tahun Baru Cina tahun ini?

Kami di Jiran berkesempatan untuk menemu bual Edward dan Serene yang berasal dari Selangor serta Paul, warga Johor Bahru yang berkongsi pengalaman mereka menyambut ketibaan Tahun Lembu Emas. Pengalaman perayaan bagi ketiga-tiga individu ini ternyata sangat berbeza dan penuh dengan keunikan tersendiri.

Edward, pemuda yang menetap di Subang Jaya, meneruskan tradisi keluarganya dengan menikmati sajian masakan Melayu seperti nasi dagang yang dihidangkan pada hari pertama perayaan Tahun Baru Cina.

Serene pula yang merupakan seorang pengantin baru dapat merasakan pengalaman pertamanya memberi ang pau melalui platform e-wallet.

Bagi saudara Paul yang menyambut Tahun Baru Cina jauh dari keluarganya di Johor Bahru tahun ini, beliau tetap berkesempatan untuk melepaskan rindu melalui panggilan video bersama ahli keluarganya.

Ingin tahu lebih banyak lagi tentang pengalaman ketiga-tiga anak muda ini? Jom tonton video di bawah:

Bagaimana pula dengan sambutan Tahun Baru Cina anda di musim PKP? Kongsikan kisah anda bersama kami di jirandigital@gmail.com dan Facebook.